Syaikh al-'Alim al-'Allaamah al-Imam Syihabud Dunya wad Din, Ahmad bin Husain bin Ahmad al-Ashfahani asy-Syafi`i rahimahullah yang lebih dikenali sebagai Qadhi Abu Syuja` @ Qadhi Abu Thayyib adalah
seorang ulama besar dalam mazhab asy-Syafi`i. Tarikh lahir dan wafatnya
tidak diketahui dengan pasti. Ada yang menyatakan beliau lahir dalam
tahun 328H dan wafat pada tahun 488H, manakala pendapat lain menyatakan
bahawa beliau lahir tahun 433H dan wafat tahun 593H.
Ketokohan beliau amat terserlah sehingga dilantik menjadi qadhi dan
akhirnya menduduki jawatan wazir. Namun kedudukan dan pangkat sedikit
pun tidak mempengaruhi keshalehan, sikap warak dan zuhud beliau. Bahkan
beliau dikenali di segenap ceruk rantau sebagai seorang imam yang shaleh
lagi alim. Sewaktu menduduki jawatan wazir, beliau menugaskan 10 orang
pembantu bertugas membahagi dan mengagih-agihkan sedekah dan hadiah, di
mana setiap seorang diberi 120,000 dinar untuk dibahagi kepada orang -
orang miskin, penuntut dan ahli ilmu serta sesiapa sahaja yang
memerlukannya. Beliau sendiri tetap hidup dengan penuh kezuhudan
terhadap dunia yang fana ini.
Qadhi Abu Syuja` dianugerahkan dengan umur yang cukup panjang, iaitu 160
tahun, sebagaimana disebut oleh Imam al-Bujairimi dan Imam al-Bajuri
dalam kitab - kitab mereka. Setelah bersara dari jawatan wazir, Qadhi
Abu Syuja` berhijrah ke Kota Madinah al-Munawwarah untuk menjadi khadam
kepada Junjungan Nabi SAW yang berkhidmat menjaga dan melayan segala
keperluan makam dan masjid baginda yang mulia. Meskipun seorang ulama
besar dan mantan wazir, Qadhi Abu Suja` tidak segan dan malu untuk
membersih sendiri makam dan masjid yang mulia serta menyalakan lampu -
lampunya.
Sungguh pun menjangkau usia lanjut, namun tubuh badannya tetap seperti
orang muda, segala anggota-anggotanya tetap seperti dahulu tidak dimamah
usia. Apabila ditanya mengenainya, beliau menjawab:- "Kami telah menjaganya sejak kecil, maka Allah menjaganya ketika kami tua
(yakni sejak kecil lagi beliau telah menjaga dan memelihara segala
anggotanya daripada berbuat maksiat kepada Allah, maka Allah pun menjaga
dan memelihara segala anggota beliau agar tetap cergas dan berfungsi
walaupun usia beliau sudah lanjut. Inilah sebahagian akhlak dan sifat
para ulama kita, jadi bagaimana
mungkin kita meninggalkan jalan mereka untuk menuruti jalan orang yang
"konon"nya lebih faham akan ajaran Islam daripada mereka, namun ilmu dan
amal juga akhlak sebesar kuku pun tidak seperti dengan mereka.
Qadhi Abu Syuja` wafat di Kota Madinah dan di sanalah beliau dimakamkan. Antara peninggalan beliau yang masyhur adalah karya fiqh mazhab Syafi`i yang banyak disyarahkan oleh ulama-ulama yang datang kemudian. Karya tersebut adalah "al-Ghayah wa at-Taqrib" atau "Ghayatul Ikhtishar" atau "Mukhtashar Abi Syuja`" atau sering disebut sebagai "Matan Abi Syuja`". Karya ini telah disyarah dan diberi penjelasan oleh ramai ulama kemudian, antaranya, oleh:-
Qadhi Abu Syuja` wafat di Kota Madinah dan di sanalah beliau dimakamkan. Antara peninggalan beliau yang masyhur adalah karya fiqh mazhab Syafi`i yang banyak disyarahkan oleh ulama-ulama yang datang kemudian. Karya tersebut adalah "al-Ghayah wa at-Taqrib" atau "Ghayatul Ikhtishar" atau "Mukhtashar Abi Syuja`" atau sering disebut sebagai "Matan Abi Syuja`". Karya ini telah disyarah dan diberi penjelasan oleh ramai ulama kemudian, antaranya, oleh:-
- Imam Taqiyuddin Abu Bakar bin Muhammad al-Hishni - "Kifayatul Akhyar"
- Imam Ahmad al-Akhshashi - "Syarh Mukhtashar Abi Syuja`";
- Imam Muhammad bin Qasim al-Ghazzi - "Fathul Qarib al-Mujib";
- Imam Waliyuddin al-Basyir - "an-Nihayah fi Syarhil Ghayah";
- Imam Muhammad asy-Syarbini al-Khatib - "al-Iqna`";
- Imam Ahmad bin al-Qasim al-`Ubbadi - "Kasyful Ghaffar"
Maka berpanjanganlah ilmu beliau sehingga dimanfaati kita di zaman ini.
Mudah-mudahan Allah mencucurkan rahmatNya kepada Qadhi Abu Syuja` dan
sekalian para ulama yang shalihin juga sekalian umat ini.....
al-Fatihah.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar