Habib Ahmad bin Husein bin Abu Bakar bin Husein as-Segaf dilahirkan di Kota Bangil, Jawa Timur dalam tahun 1935. Ayahanda beliau al-Habib Husein bin Abu Bakar
rahimahUllah
adalah seorang ulama yang sholeh yang dalam penguasaannya dalam ilmu
fiqh. Dari usia kecil lagi, Habib Ahmad mendapat asuhan dan didikan
agama dengan ketat oleh ayahanda beliau tersebut. Datuk beliau, al-Habib
Abu Bakar bin Husein as-Segaf,
rahimahUllah
juga seorang sholeh yang diakui kewaliannya oleh khalayak ramai. Beliau
mengabdikan hayatnya untuk membantu segala fakir dan miskin serta
sesiapa sahaja yang perlukan bantuan. Beliau merupakan sahabat dan murid
al-Quthub al-Habib Abu Bakar bin Muhammad as-Segaf rahimahUllah.
Habib Ahmad telah meneruskan pengajian agamanya dengan menjadi santri kepada Habib Muhammad Ba`Abud
rahimahUllah di Pesantren Darun Nasyi'in, Lawang, kemudian ke Bondowoso untuk belajar dengan Habib Hasan BaHarun
rahimahUllah.
Akhirnya, Habib Ahmad telah berangkat ke Makkah al-Mukarramah untuk
mengaji dengan Prof. Dr. Habib Muhammad bin 'Alawi al-Maliki al-Hasani.
Habib Ahmad bermastautin selama kira-kira 6 tahun di Makkah, dan selain
dengan Buya al-Maliki, beliau turut menimba ilmu dan mengambil ijazah
dan sanad daripada beberapa ulama besar al-Haramain seperti Habib 'Abdul
Qadir bin Ahmad as-Saqqaf, Syaikh 'Abdullah bin Sa`id al-Lahji dan
ramai lagi,
rahimahumUllah.

Sekembalinya dari Kota Makkah, beliau telah turut bersama
Habib Hasan bin Ahmad BaHarun
membuka Pesantren Darul Lughah wad Da'wah. Habib Ahmad telah
mengabdikan dirinya sebagai tenaga pengajar di pesantren tersebut selama
lebih kurang 25 tahun. Setelah wafatnya Habib Hasan
rahimahUllah, Habib Ahmad telah mendirikan pesantrennya sendiri di Bangil, Jawa Timur dengan nama Darul Ihya` Li Ulumiddin. Habib Ahmad
hafizahUllah terkenal
sebagai ulama yang tegas dalam menghadapi berbagai aliran sesat yang
bertentangan dengan pegangan Ahlus Sunnah wal Jama`ah terutamanya ajaran
Syiah. Mudah-mudahan Allah melanjutkan usia beliau dalam sihat wal
`afiat yang sempurna serta melindungi serta merahmati beliau sentiasa.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar