
Perang
Badar al-Kubra yang berlaku dalam bulan Ramadhan telah menyaksikan
berbagai kepayahan dan kesukaran yang ditempohi Junjungan Nabi SAW dan
para sahabat baginda sekalian. Jarak antara Kota Madinah dan Badar yang
lebih kurang 160 kilometer ditempoh oleh para mujahid ini bersama
Sayyidul Mujahidin SAW dengan berjalan kaki dan bergilir-gilir
menunggang unta yang hanya 70 ekor. Imam Ahmad bin Hanbal RA dalam
musnadnya meriwayatkan bahawa ketika Perang Badar tentera Islam menaiki
unta secara bergilir-gilir dengan setiap 3 orang berkongsi seekor unta
tunggangan. Maka adalah Junjungan Nabi SAW bergiliran dengan Sayyidina
`Ali RA dan Sayyidina Abu Lubabah RA. Ketika tamat masa giliran
Junjungan Nabi SAW, maka dua sahabat mulia tersebut berkata kepada
baginda: " Wahai Rasulallah, biarlah kami berjalan dan tetaplah tuan
atas tunggangan." Namun baginda menolak cadangan dua sahabat tersebut
dengan sabdanya:
ما انتما بأقوى مني و لا انا بأغنى عن الأجر منكما
" Kalian tidaklah lebih kuat daripada aku, dan aku tidak kurang mendambakan pahala daripada kalian."
Allahu ... Allah, lihat betapa mulianya akhlak Junjungan Nabi SAW.
Betapa tawadhu`nya baginda sehingga baginda menyatakan bahawa baginda
juga amat mengharapkan pahala sama seperti para sahabatnya yang mulia.
Junjungan Nabi SAW sekali-kali tidak mengambil kesempatan atas para
sahabat baginda. Sungguh bertuah sesiapa yang bersahabatkan baginda,
tuah yang berpanjangan dari dunia sehingga ke syurga. Teramat kejilah
sesiapa yang lancang mulut menghina orang-orang yang menjadikan sahabat
baginda. Moga dengan keberkatan Ramadhan dan jah sahabat-sahabat
pilihan, para pejuang Badar, kita dirahmati dan diberkati Allah
sentiasa.

Mufti Kota Bercahaya, Madinah al-Munawwarah, wali Allah yang tiada tara, Syaikh Sayyid Ja'far al-Barzanji
rahimahUllah,
penyusun Mawlid Barzanji yang masyhur di alam raya, telah mengarang
satu nazam yang indah berisikan tawassul dengan para pejuang Badar, para
syuhada` Uhud, para ahli bait dan para ulama dan wali. Himpunan ini
beliau namakan dengan "
Jaliyatul Kadar bi dzikri asmaa` Ahlil Badri wa Syuhadaa` Uhudis Saadatil Ghurar". Moga-moga dengan membacanya kita memperolehi keberkatan para pejuang tersebut.... Allahumma aamiin.
******************************
Tidak ada komentar:
Posting Komentar