Sabtu, 12 Februari 2011

Fatwa Mawlid - Abu Zur`ah

Imam al-Faqih al-Ushuli al-Mutafannin al-Hafiz al-Muhaqqiq ًWaliyuddin Abu Zur`ah Ahmad bin al-Hafiz al-Kabir Abi al-Fadhl Zainuddin 'Abdur Rahim bin al-Husain al-'Iraqi rahimahumUllah adalah salah seorang ulama besar bermazhab Syafi`i. Beliau dilahirkan pada bulan DzulHijjah tahun 762H. Didikan agama diperolehinya daripada ayahandanya sendiri yang juga seorang ulama besar yang mempunyai berbagai karangan. Selain itu, beliau juga melazimi pengajian ulama - ulama lain antaranya Imam al-Bulqini, Imam al-Burhan al-Abnaasi, Imam Sirajuddin Ibnu Mulaqqin @ Ibnu an-Nahwi asy-Syafi`i, Imam adh-Dhiya` al-Qazwini dan lain-lain lagi. Beliau mengarang banyak kitab dalam berbagai lapangan ilmu pengetahuan. Antara karya beliau:-
  1. Syarah al-Bahjah;
  2. Syarah Sunan Abi Dawud;
  3. Mukhtashar al-Muhimmat;
  4. Syarah Jam`ul Jawaami' fil Ushul;
  5. Syarah Nadzam al-Baidhawi;
  6. Syarah Taqrib al-Asaanid;
  7. Hasyiah 'ala al-Kasysyaf.
Apabila al-Imam al-Jalal al-Bulqini rahimahUllah wafat pada tahun 824H, maka Imam Abu Zur`ah telah diangkat menjadi qadhi Mesir menggantikannya. Imam Abu Zur`ah sendiri wafat dalam bulan Sya'ban tahun 826H, rahimahUllah.

Imam al-Habib 'Alawi bin Ahmad bin al-Hasan bin Shohibur Ratib al-Qutb al-Habib 'Abdullah al-Haddad rahimahumUllah menulis dalam syarahnya bagi "Ratib al-Haddad", halaman 91 bahawa Imam Abu Zur`ah pernah ditanya mengenai hukum mengadakan sambutan Mawlidin Nabi SAW. Adakah ianya mustahab atau makruh dan apakah ada warid ianya dilakukan oleh generasi salaf terdahulu yang menjadi ikutan umat? Maka beliau, rahimahUllah menjawab sebagai berikut:-

Membuat walimah (kenduri) dan memberikan jamuan makanan adalah sesuatu yang mustahab dilakukan pada bila-bila masa sahaja. Apatah lagi jika ianya disertai kegembiraan atas zahirnya nur an-nubuwwah pada bulan yang mulia ini. Walaupun generasi salaf tidak diketahui melakukan walimah yang sedemikian, namun keadaannya sebagai suatu bid`ah tidaklah memestikan yang ianya dianggap sebagai sesuatu yang dibenci (bid`ah makruhah). Betapa banyak bid`ah yang mustahabbah, bahkan yang dianggap sebagai wajib, apabila ianya tidak dicampuri oleh sesuatu mafsadah.
Jadi jelaslah menurut pandangan Imam Abu Zur`ah, mengadakan kenduri untuk memperingati mawlid Junjungan Nabi SAW adalah suatu bid`ah yang mustahab. Kenduri-kenduri mawlid ini walaupun tidak pernah dikerjakan oleh generasi salaf terdahulu adalah dibenarkan dengan syarat ianya bersih dari perbuatan-perbuatan yang mendatangkan fasad dan kerosakan menurut hukum syarak yang mulia. Maka amat kejilah fatwa songsang zaman ini yang menghukumkan orang-orang yang mengadakan majlis mawlid Nabi SAW sebagai bid`ah yang munkar, sedangkan dalam majlis tersebut tiada perbuatan yang menyalahi syarak. Eloklah kita campakkan sahaja fatwa karut tersebut dan berpeganglah kepada fatwa para ulama kita terdahulu. Bid`ah pun bid`ahlah asalkan bid`ah hasanah.

Tidak ada komentar:

"MAJELIS RASULULLAH SAW"

"MAJELIS RASULULLAH SAW"









"PERADABAN BARU ISLAM (FITRAH MANUSIA)"

Seaching Blog