Selasa, 06 Juli 2010

Ancaman Wahabiah - Dr. Uthman

Selasa, Julai 6

نحمده ونصلى على رسوله الكريم
OLEH:
AL-FAQIR ILA’LLAH MUHAMMAD UTHMAN EL-MUHAMMADY
Pertama, penulis ini memerhatikan aliran dan gerakan Wahabiah ini lebih daripada dua puluh tahun; dengan rasa bertanggungjawab ia ingin menyatakan bahawa kita di Malaysia ini beraliran Ahlissunnah wal-Jamaah, bermazhab fiqh Syafie. Kita berjaya dan benar dalam memahami agama dan mengamalkannya dalam aliran yang terjamin oleh Nabi dan Quran ini, dengan tidak melupai ada perlara-perkara yang masih tidak sempurna di kalangan kita. Kita wajib mengelak diri daripada Wahabiyah. Mereka yang dari awal bermazhab dengan mazhab Wahhabiah ini jangan mengembangkannya kepada Orang Islam di negara ini.
Kedua pihak pemerintah mesti memutuskan untuk terus berpegang kepada aliran Ahlisunnah ini dan menguatkuasakannya. Jangan terpesona dengan slogan pembaharuan atau reformasi dangkal yang dikeluarkan oleh mana-mana pihak yang beraliran demikian. Malaysia mencapai kejayaan selama ini bukan kerana aliran dangkal itu. Ia berjaya dalam rangka Ahlisunnah wal-Jamaah yang disertakan dengan sikap positif menerima perkara-perkara baharu yang penting dalam konteks kerangka ajaran yang sudah ada; dalam negara-negara OIC ia terkenal dengan kejayaannya. Untuk apa hendak kita gantikan ini dengan aliran Wahabiah? Untuk menjadi kacau bilau seperti beberapa kawasan yang mengamalkan aliran yang seperti itu? Adakah kita berjaya kerana tidak membaca usalli? Tidak berselawat kepada nabi? Tidak bermazhab? Tidak membaca berzanji? Tidak berkunut? Tidak mengadakan tahlil arwah? Tidak berwirid selepas sembahyang? Ajaran ‘pembaharuan’ apa ini? Adakah ini pemikiran sejahtera? Maha suci Allah.
Ketiga, untuk menulis dengan ringkas, kita boleh tegaskan bahawa ajaran tauhid itu ada tiga, tauhid rububiah, tauhid uluhiah, tauhid asma’ wassifat yang dihuraikan oleh mereka itu bukan cara Ahlissunnah, itu cara Wahhabiah.Wahabiah mengajarkan tauhid rububiah ialah mempercayai Tuhan menjadikan alam, memberi rezeki daln lain-lain; tauhid uluhiah ialah menyembahNya dan taat kepadaNya. Tiap-tiap satunya terasing daripada yang lain. Sebab itu, kata mereka, penyembah berhala, bertauhid rububiah sebab ia percaya Tuhan menjadikan alam, hanya ia tidak bertauhid secara uluhiah. Sebab itu dia kafir, lalu berlaku hukum Syara’ sebagaimana yang diketahui itu. Orang yang mengucap syahadat kalau ia tidak mengamalkan Islam dengan baik, ia bertauhid rububiah sahaja, hukumnya sama dengan penyembah berhala; dia dijadikan objek jihad menentangnya. Sebab itu mereka menyerang Orang Turki Othmaniah kerana katanya mereka ia bertauhid rububiah sahaja, tidak bertauhid uluhiah. Maka halal darahnya. Maha suci Allah.
Sebab itu kemudian mereka mengebom bank, membunuh orang yang tidak berdosa, membunuh ‘orang yang bertauhid rububiah’ sahaja. Tidak ada kitab Ahli sunnah yang mengatakan bahawa penyembah berhala ahli tauhid; yang dikatakan dalam kitab Ahlisunnah – dalam Quran dan Sunnah – ialah mereka musyrikin.
Keempat, mereka berkata bahawa orang yang berdoa di kubur orang soleh dan meminta dengan keberkatan mereka supaya Tuhan menyembuhkan penyakit, mengangkatkan bala, itu syirik. Dengan itu halal darah mereka. Dalam Ahlissunnah itu harus, sebab itu orang Islam berdoa di kubur nabi saw untuk mendapat syafaatnya dan hajatnya dunia dan akhirat.
Kelima kita dalam Ahlisunnah mendapat pengajaran bahawa Tuhan bersifat dengan sifat-sifat yang sempurna, tidak ada sifat yang kekurangan. Ia ada, sedia kala, kekal, bersalahan dengan sifat-sifat makhluk yang baharu, berdiri sendiri (bukan dijadikan oleh sesiapa, tidak memerlukan sesiapa atau apa-apa dari sekalian makhluk), Maha Esa, mempunyai sifat hidup, ilmu, berkuasa, berkehendak, mendengar, melihat, berkata-kata; keadaanNya hidup, berilmu, berkuasa, berkehendak, mendengar, melihat dan keadaannya berkata-kata. Ini sekurang-kurang yang perlu diketahui dan diyakini. Sifat-sifatNya tidak terkira.
Keenam, sekali lagi kita tegaskan, tauhid tiga kategori yang terpisah-pisah ini – tauhid rububiah asing, tauhid uluhiah asing, tauhid asma wassifat asing tidak ada dalam Ahlissunnah; sebab terasing tauhid yang tiga itu, mereka boleh berkata penyembah berhala ahli tauhid rububiah. Orang yang tak sempurna taatnya hanya bertauhid rububiah; orang berdoa di kubur hanya bertauhid rububiah-sebab itu maka semua halal darah dan harta mereka. Tauhid cara huraian seperti ini sudah tersebar dalam setengah IPT-IPT di Malaysia. Kalau ini tersebar dengan meluas dan pengaruhnya mendalam, percayalah, maka ia menjadi ‘sarang’ tempat bertelur dan membesar fahaman keganasan, anti-establishment, dan fahaman menentang pihak berotoriti yang tidak bersefahaman dengan mereka. Ini terbukti dalam wacana mereka (‘Tarikh Najdin’, ‘Unwan al-Majdi’, dan ‘Kitab al-Syubuhat’ antara lainnya). Sesiapa yang memandang ringan tentang perkara itu –mengatakan itu tuduhan melulu, nanti dulu, itu helah setengah orang—akan menyesal dengan tidak berkesudahan. Dijauhkan Allah. Ia akan membawa kepada kerosakan akidah, mengancam keselamatan negara, dan konflik yang tidak berkesudahan, kemusnahan sistem negara, dan bila itu berlaku, dijauhkan Allah, kuasa luar akan menuduh negara kita pusat keganasan; dan pihak yang sinis, sebagaimana yang biasa berlaku, tidak akan membantu kita bila perkara buruk ini berlaku.
Ketujuhnya di setengah IPT sudah ada pensyarah-pensyarah yang memaksa pelajar memberi huraian ini – bukan hanya untuk perbandingan akademik – dan kalau tidak berbuat demikian pelajar itu akan mendapat akibat yang buruk dalam ujiannya. Ini perlu diberi perhatian oleh pihak rasmi negara. Nampaknya ‘proses membuat rekrut’ juga ada berlaku, mungkin untuk gerakan akan datang; kita perlu berwaspada tentang hal ini dan jangan membiarkannya berkembang.
Kelapannya, natijah daripada ‘tauhid Wahhabi’ seperti itu maka mereka tidak memandang taat kepada ulil-amri itu sebagai kewajipan. Mereka dengan senang sekali keluar menentang ulil-amri, pihak berkuasa, ini jelas dalam sejarah dan teks-teks ajaran mereka, walhal dalam Ahlil-Sunnah kita tidak boleh keluar menentang, bermusuh dengan ulil-amri, ‘kecuali bila zahir daripada mereka kekufuran yang nyata’. Berwaspadalah wahai ulil-amri dan umat Islam Malaysia supaya umat dan agama serta negara tidak binasa. Jangan menempah penyesalan yang jalan kembali kepada kesejahteraannya sudah tidak ada lagi. Allahumma sallimna wal-Muslimin.
Kesembilannya, sebagai kesimpulan, ringkasnya kita tidak boleh bersikap naif dan membenarkan aliran Wahabiah ini diamal dan disebarkan dalam negara, termasuk memberi ‘tempat penting’ kepada orang Wahhabi. Kita tidak membenarkan Wahhabiah disebar kepada Orang Islam Malaysia yang bermazhab Ahlisunnah. Kita tidak mengganggu orang Wahhabi yang asal pegangannya demikian (tetapi jangan ia kembangkan kepada orang Islam Malaysia yang bermazhab Ahlissunnah). Kalau tidak mereka yang terkena pengaruh ini akan berkembang bersama dalam aliran keganasan antarabangsa yang akan menganiaya Muslimin dan negara. Kita boleh ingatkan bahawa baru-baru ini dalam ‘Saudi Gazette’ ada berita bagaimana ada gerakan bahawa menteri di sana akan ditangkap, disembunyikan dan sesuatu akan dilakukan terhadap mereka yang menjalankan gerakan ini, dan memang mereka sekarang dalam berjaga-jaga. Orang yang sinis, yang menganggap dirinya ‘tahu semua’ memang akan mengatakan itu hanya ‘conspiracy’, sebagaimana yang biasa berlaku.
Penulis ini hanya dengan rasa ikhlas ingin menegaskan: berjaga-jagalah atas nama keselamatan negara dan keselamatan agama serta keamanan, supaya negara ini tidak menjadi ribut dan daif seperti kawasan-kawasan lain dalam dunia Islam. Wallahu a’lam.

Tidak ada komentar:

"MAJELIS RASULULLAH SAW"

"MAJELIS RASULULLAH SAW"









"PERADABAN BARU ISLAM (FITRAH MANUSIA)"

Seaching Blog