Rabu, 15 April 2009

Syaikh Utsman Jalaluddin Penanti

Syaikh 'Utsman Jalaluddin bin Muhammad bin 'Abdus Shamad al-Kelantani atau lebih dikenali sebagai Syaikh Utsman Jalaluddin Penanti adalah antara murid almarhum Tok Kenali yang menjadi ulama besar serta pengasas pondok yang terbilang. Beliau dilahirkan di Kampung Panjang, Daerah Sering, Kota Bharu, Kelantan dalam tahun 1297H / 1880M atau 1300H/1880M dan kembali ke rahmatUllah di Makkah al-Mukarramah pada tanggal 30 Dzulhijjah 1371H / 19 September 1952 M.

Selain menjadi murid Tok Kenali, beliau juga berguru, antaranya, dengan Tuan Guru Haji Jamaluddin Perupok, Syaikh Abdul Malik Sungai Pinang dan Mufti Haji Wan Muhammad bin Tuan Tabal. Pada tahun 1319H/1901, beliau melanjutkan pelajarannya ke Makkah. Di sana beliau berguru dengan ramai ulama di sana, antaranya dengan Syaikh Wan Ahmad al-Fathani dan Syaikh Mukhtar bin 'Athorid Bogor. Beliau mendampingi Syaikh Wan Ahmad sehinggalah beliau meninggal dunia pada tahun 1325H/1908M.

Selain menghasilkan murid-murid yang ramai, seperti Haji Abdul Rahman Sungai Durian, Haji Abdul Rahman Lubok Tapah, Haji Abdullah Lati, Haji Abdullah Kg. Laut, Haji Hassan Ketereh, Haji Abu Bakar Bukit Tiu, Haji Mohd Ibrahim Akibi Pulau Pinang, Haji Ismail Merbok, Haji Hussein Umbai, Haji 'Abdul Ghani Kubang Bemban dan Ustaz 'Abdul Kadir Kamaluddin Pekan, Syaikh Utsman termasuk ulama dunia Melayu yang menghasilkan karya yang banyak, ditulis dalam bahasa Arab dan bahasa Melayu. Di antaranya ialah:
  1. Syarh al-Kabir;
  2. Mathali' al-Anwar wa Majali' al-Azhar;
  3. Qiladah al-'Iqyan fi Sya'bi al-Iman;
  4. Mir-ah al-Iman;
  5. Miftah al-Jinan;
  6. Siraj al-Islam;
  7. Hadis Nur Nabi;
  8. Nujum al-Muhtadin Perbahasan Kaum Muda;
  9. Ta'rif al-'Urfi fi `Ilmi at-Tashrif;
  10. Anwar al-Huda wa Amthar an-Nada; dan
  11. Ad-Durratun Naafi`ah fi Asyraathis Saa`ah.
Karangan beliau yang berjodol ad-Durratun Naafi`ah fi Asyraathis Saa`ah membahaskan mengenai tanda-tanda hari Kiamat dan perkara berkaitan Imam al-Mahdi dengan agak terperinci. Pada cetakan kitab tersebut terdapat kata-kata pujian dari Syaikh 'Abdullah Pak Him, Mufti Pulau Pinang dan Seberang Perai, Haji Ahmad Sa'ad al-Mashri dan Haji Ahmad Tuan Husein. Karangannya tersebut menyentuh juga berhubung peperangan - peperangan yang bakal dihadapi oleh Imam al-Mahdi sebelum keluarnya Dajjal. Antara yang dinyatakan beliau dalam kitab tersebut:-
Maka apabila mendengar oleh Raja Makkah akan Imam Mahdi dan jemaahnya telah bermukim di Thoif, ia pun bersedia serta keluarlah ia memerangi akan mereka itu. Di dalam peperangan itu, dapatlah jemaah Imam Mahdi mengalahkan ahli Makkah serta membunuh rajanya. Inilah (perang yang pertama) daripada 6 kali peperangan Imam Mahdi. .................. Pada tahun 1342H, di masa Syarif Husain memerintah Makkah, ada seorang guru bersyarah di Masjidil Haram mengatakan akan zahir Mahdi dan memerangi ia akan negeri Turki dan Makkah. Maka hamba (yakni Syaikh Utsman) pun bertanya kepadanya: "Apakah sanya Imam Mahdi memerangi akan ahli kedua negeri itu? Walhal kedua negeri itu iaitu negeri Islam?" Jawabnya: "Barangkali pada akhir zaman bahawasanya ahli kedua negeri itu kebanyakan keluar daripada Ahlus Sunnah wal Jama`ah."
Kemasyhuran Syaikh Utsman bukan hanya di Tanah Melayu sahaja tetapi menjangkau pusat dunia Islam iaitu Makkah al-Mukarramah. Beliau kerap berulang alik ke Makkah dan diberi kepercayaan mengajar di Masjidil Haram. Doa beliau untuk meninggal di tanah suci diperkenankan Allah, apabila pada tanggal 30 Dzulhijjah 1371H / 19 September 1952 M kembalilah ulama besar lagi berjasa ini ke rahmatUllah. Mudah-mudahan Allah sentiasa merahmati dan mengasihani beliau ... al-Fatihah.

Tidak ada komentar:

"MAJELIS RASULULLAH SAW"

"MAJELIS RASULULLAH SAW"

"PERADABAN BARU ISLAM (FITRAH MANUSIA)"

Seaching Blog

Memuat...