Rabu, 15 April 2009

Syaikh Ahmad Khatib Sambas

Salah seorang ulama kelahiran Pulau Borneo yang memiliki keistimewaan tersendiri dengan mempelopori satu tarekat yang menggabung dua tarekat menjadi satu. Tarekat yang berpengaruh tersebut dikenali sebagai Tarekat Qadiriyyah wan Naqsyabandiyyah. Ulama tersebut adalah Syaikh Ahmad bin 'Abdul Ghaffar bin 'Abdullah bin Muhammad bin Jalaluddin yang dilahirkan di Kampung Dagang, Sambas, Kalimantan Barat pada bulan Shafar al-khair 1217H (1803M).

Apabila usia beliau 19 tahun, beliau pergi ke Makkah untuk memperdalamkan lagi ilmunya. Di sana beliau berguru dengan Tok Syaikh Daud bin 'Abdullah al-Fathani. Selain berguru dengan Tok Syaikh Daud, beliau juga pergi belajar dengan Syaikh Muhammad Sholih bin Ibrahim ar-Rais, Syaikh, Syeikh 'Umar 'Abdur Rasul, Syaikh 'Abdul Halim al-‘Ajami, Syaikh Bashri al-Jabarti, Sayyid Ahmad Al-Marzuqi (Mufti Maliki Makkah), Sayyid 'Abdullah bin Muhammad Al-Mirghani, Syaikh 'Uthman ad-Dimyathi dan ramai lagi. Kemasyhurannya, sama ada peringkat Nusantara mahu pun antarabangsa pada zamannya tidak dinafikan. Sekurang-kurangnya terdapat dua buah kitab yang ditulis dalam bahasa Arab oleh orang Arab, menceritakan kisah ulama-ulama Mekah dan nama Syeikh Ahmad Khathib Sambas juga terdapat di dalamnya iaitu "Siyar wa Tarajim" karya Syaikh 'Umar 'Abdul Jabbar dan "al-Mukhtashar min Kitab Nasyrin Naur waz Zahar" karya Syaikh 'Abdullah Mirdad Abul Khair yang diringkaskan oleh Syaikh Muhammad Sa'id al-'Amudi dan Syaikh Ahmad Ali.

Syaikh Ahmad Khatib bermukim di Makkah sehingga menghembuskan nafasnya yang terakhir pada tahun 1289H / 1872M. Beliau meninggalkan ramai murid dan khalifah, antaranya ialah Syaikh Abdul Karim Banten, Syaikh Tolhah Cirebon, Sayyidul Ulama Hijaz Syaikh Nawawi al-Bantani, Syaikh Muhammad Yaasin Kedah, Syaikh 'Abdul Lathif bin 'Abdul Qaadir Sarawak dan ramai lagi. Tarekat yang dipeloporinya mendapat tempat di kalangan ulama dan awam. Bahkan ramai ulama yang telah mengambil bai`ah ijazah dan talqin daripada beliau dan khalifah-khalifahnya. Antara yang mengambil talqin tersebut ialah Syaikh 'Utsman as-Sarawaki yang menerima talqin zikir Tarekat Qadiriyyah wan Naqsyabandiyyah daripada khalifah beliau Syaikh Abdul Karim Banten. Bahkan sehingga kini ajaran dan amalan tarekatnya tetap mempunyai pengikut dan berpengaruh di rantau ini. Amalan, silsilah dan wirid tarekat beliau boleh dilihat dalam kitab "Fathul 'Aarifiin" yang beliau imla`kan kepada muridnya bernama Syaikh Muhammad bin Ismail bin 'Abdur Rahim al-Bali dalam bulan Rajab 1295H/1877M, kemudian ianya ditashhihkan oleh Syaikh Ahmad al-Fathani dan dicetak pertama kalinya tahun 1305H/1887M. Kitab ini sehingga kini masih tersebar.

Mudah-mudahan Allah sentiasa merahmati Syaikh Ahmad Khatib Sambas serta para guru beliau dan sekalian ulama dan awam umat ini. Al-Fatihah.

Tidak ada komentar:

"MAJELIS RASULULLAH SAW"

"MAJELIS RASULULLAH SAW"

"PERADABAN BARU ISLAM (FITRAH MANUSIA)"

Seaching Blog

Memuat...