Jumat, 17 April 2009

Sidi 'Abdullah Shadaqah Dahlan

Sayyid 'Abdullah bin Shadaqah bin Zaini Dahlan al-Jilani adalah seorang ulama besar yang dilahirkan pada tahun 1290/1291H (1874/1875M) di Kota Makkah al-Mukarramah. Beliau lahir dalam keluarga ulama yang sholeh. Ayahanda beliau adalah saudara kandung Syaikhul Islam Mufti Haramain Sayyidi Ahmad Zaini Dahlan, ulama dan mufti Hejaz yang masyhur, manakala bonda beliau adalah saudara perempuan Sidi Abu Bakar Syatho ad-Dimyathi. Nasab penuh beliau adalah Sayyid 'Abdullah bin Shadaqah bin Zaini Dahlan bin Ahmad Dahlan bin 'Utsman Dahlan bin Ni'matUllah bin 'Abdur Rahman bin Muhammad bin 'Abdullah bin 'Utsman bin 'Athoya bin Faaris bin Musthofa bin Muhammad bin Ahmad bin Zaini bin Qaadir bin 'Abdul Wahhaab bin Muhammad bin 'Abdur Razzaaq bin 'Ali bin Ahmad bin Ahmad (Mutsanna) bin Muhammad bin Zakariyya bin Yahya bin Muhammad bin Abi 'Abdillah bin al-Hasan bin Sayyidina 'Abdul Qaadir al-Jilani, Sulthanul Awliya` bin Abi Sholeh Musa bin Janki Dausat Haq bin Yahya az-Zaahid bin Muhammad bin Daud bin Muusa al-Juun bin 'Abdullah al-Mahd bin al-Hasan al-Mutsanna bin al-Hasan as-Sibth bin Sayyidinal-Imam 'Ali & Sayyidatina Fathimah al-Batuul radhiyaAllahu`anhum ajma`in.

Tatkala beliau berusia 6 tahun, ayahandanya wafat, Sidi Ahmad Zaini Dahlan telah mengambil tugas ayahandanya untuk menjaga dan memberi pendidikan yang sempurna kepadanya. Pamannya ini turut mengasihi dirinya serta memberikan perhatian besar terhadapnya. Beliau berada di bawah asuhan pamannya ini sehinggalah ulama besar Hejaz ini wafat di Kota Madinah al-Munawwarah pada tahun 1304H (1887M).

Setelah pemergian pamannya yang mulia, Sayyid 'Abdullah kembali ke Kota Makkah dan menyambung pengajiannya dengan para ulama di sana, antaranya dengan pamannya Sidi Abu Bakar Syatho ad-Dimyathi, Syaikh Muhammad Husain al-Khayyath, Habib Husain bin Muhammad al-Habsyi dan lain-lain ulama terkemuka. Kedalaman ilmunya diakui para ulama sehingga beliau diberi kepercayaan untuk menjadi Imam dalam Masjidil Haram di Maqam Ibrahim (tempat bagi Imam mazhab Syafi'i) serta menjadi tenaga pengajar di Masjidil Haram yang mengendali halaqah ilmu di Babus Salam.

Sayyid 'Abdullah terkenal sebagai ulama yang suka mengembara dari satu tempat ke satu tempat demi menyebarkan risalah dakwah dan ilmu. Beliau telah merantau ke banyak tempat seperti Zanzibar, Yaman, India, Mesir, Bahrain, Iraq, Syam, India, Sri Lanka, Tanah Melayu, Singapura, Jawa dan Sulawesi. Beliau juga telah mendirikan berbagai madrasah di tempat-tempat tersebut. Apa yang menarik ialah sewaktu di Tanah Melayu beliau telah dilantik menjadi Syaikhul Islam (Mufti) Kedah kedua. Namun jawatan tersebut hanya disandangnya kira-kira setahun iaitu dari 1904 sehingga 1905 dan dilepaskannya kerana beliau berhasrat untuk kembali ke Makkah.

Setelah lama berkelana, akhirnya Sayyid 'Abdullah telah memilih untuk menetap di Desa Ciparay Girang, Karang Pawitan dalam daerah Garut, Jawa Barat. Di situlah beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir pada tahun 1943, setelah menjalani hidup yang penuh ketaatan dan keberkatan. Beliau meninggalkan beberapa karangan, antaranya:-
  1. Irsyad Dzil Ahkam;
  2. Zubdatus Sirah an-Nabawiyyah;
  3. Tuhfatuth Thullab fi qawa'idil i'raab;
  4. Khulaashah at-Tiryaaq min samuum asy-Syiqaaq;
  5. Irsyadul Ghaafil ila maafiith thoriiqatit Tijaaniyyati minal baathil;
  6. Fatwa fi ibthal thoriqah wahdatil wujud.
Mudah-mudahan Allah sentiasa mencucuri rahmat ke atas Sayyidi 'Abdullah Shadaqah Dahlan al-Jilani al-Hasani. ...... al-Fatihah.

Tidak ada komentar:

"MAJELIS RASULULLAH SAW"

"MAJELIS RASULULLAH SAW"

"PERADABAN BARU ISLAM (FITRAH MANUSIA)"

Seaching Blog

Memuat...