Satu ketika, Khalifah Abu Ja'far al-Manshur daripada Daulah Abbasiyyah menziarahi maqam Junjungan s.a.w. di Kota Madinah al-Munawwarah. Khalifah tersebut telah mengajukan soalan kepada Imam Darul Hijrah, Imam Malik bin Anas r.a., dengan katanya:- "Wahai Aba Abdillah, adakah menghadap qiblat aku berdoa atau menghadap Junjungan Rasulullah s.a.w.?" Imam Malik r.a. menjawab: "Kenapa engkau hendak memalingkan wajahmu daripada baginda, sedangkan baginda adalah wasilahmu dan wasilah bapamu Nabi Adam a.s. kepada Allah. Bahkan hendaklah engkau hadapkan wajahmu kepada baginda dan mohonlah syafaat dengan baginda, nescaya Allah akan menerima syafaat baginda." Kisah ini antara lain dinukil oleh al-Qadhi 'Iyyadh al-Yahsubi dalam "asy-Syifa`" dan Imam Ibnu Hajar dalam "al-Jawharul Munadhzdzam" serta telah masyhur diketahui umum.
Dengan Junjungan s.a.w. hendaklah kita membaikkan adab, kerana beliau adalah wasilah kita yang terbesar dan selaku umat yang beriman Allah memerintahkan kita agar senantiasa mencari wasilah untuk bertaqarrub kepadaNya, baik wasilah tersebut berupa amal saleh, keimanan dan ketaatan diri kita, maupun yang ada pada para kekasihNya daripada kalangan anbiya`, awliya` dan sholihin. Lihatlah saudara sekalian, bagaimana Imam Malik r.a., seorang ulama besar dan mujtahid mutlak, cukuplah kebesaran Imam Malik ini yang Imam kita asy-Syafi`i adalah muridnya, memahami erti wasilah itu sebagai mencakup wasilah dengan Junjungan s.a.w dan tidak terbatas hanya dengan amal-amal saleh diri pribadi kita semata-mata sebagaimana yang difahami oleh segolongan ahli bid`ah zaman ini.
Keumuman makna wasilah ini sebenarnya telah diterangkan oleh ramai ulama kita yang terdahulu maupun yang datang kemudian. Contoh yang hampir dengan kita ialah penjelasan almarhum Habib Muhammad bin 'Alwi bin 'Abbas al-Maliki al-Hasani al-Makki rhm. dalam "Syifa-ul-Fuaad" yang menyatakan bahawa maksud wasilah atau `mencari jalan untuk mendekatkan diri kepada Allah' seperti difirmankanNya dalam ayat 35 surah al-Maidah yang kira-kira bererti "Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah dan carilah jalan untuk mendekatkan diri kepadaNya, dan berjihadlah pada jalanNya agar kamu memperolehi kejayaan" membawa maksud agar kita bertawassul kepada Allah melalui perantara yang dapat mendekatkan diri kepada Allah, samada ianya melalui tawassul dengan amal saleh maupun dengan pribadi yang mempunyai maqam dan darjat di sisi Allah s.w.t. Ini adalah kerana kalimah 'al-wasilah' dalam ayat tersebut hendaklah diertikan secara mutlak keumumannya, sedangkan membataskan tawassul hanya dengan amal-amal saleh kita sahaja tidak mempunyai alasan ynag kukuh. Tambahan pula, jikalah yang dimaksudkan al-wasilah itu hanya semata-mata amal saleh kita sendiri, maka ianya telahpun dinyatakan di pangkal ayat tersebut yang menyuruh kita bertaqwa kepada Allah kerana perintah bertaqwa itu membawa erti mengerjakan amal saleh dan meninggalkan kemungkaran. Jadi perintah yang kedua untuk mencari wasilah itu adalah perintah lain dan bukannya semata-mata menjadi penguat kepada perintah bertaqwa yang pertama.
Oleh itu, wahai ikhwah yang budiman, ketahuilah dan ingatlah pesanan Imam Malik tersebut, Junjungan s.a.w. adalah wasilah udhzma yang utama dan teragung bagi kita untuk meraih keredhaan dan rahmat Allah s.w.t. Junjungan adalah wasilah kita, bahkan wasilah bagi bapa kita, Nabi Adam a.s. Oleh itu usahlah kalian hiraukan golongan yang anti tawassul dengan Junjungan s.a.w. Tanpa baginda, siapa dan di manakah kita ?
Allahumma sholli wa sallim wa baarik 'alaih
Tidak ada komentar:
Posting Komentar