Senin, 14 Desember 2009

Imam Haji Morshidi

Datuk Hakim Imam Haji Morshidi yang nama penuhnya ialah Abang Haji Morshidi bin Abang Haji Narudin (Nuruddin) bin Datuk Bandar Haji Bolhasan. Beliau dilahirkan di Kuching pada tahun 1877.

Beliau melanjutkan pengajian agamanya ke Makkah al-Musyarrafah dan menjadi murid kepada ramai ulama ternama di sana seperti Syaikh Haji Uthman bin Abdul Wahhab as-Sarawaki, Syaikh Wan Ahmad al-Fathani, Syaikh Mukhtar Bogor, Syaikh Muhammad Sa`id BabShail dan Sidi Abu Bakar Syatha ad-Dimyathi. Setelah menahun di Kota Makkah selama kira-kira lapan tahun, pulanglah beliau ke Sarawak untuk menabur jasa mendidik anak bangsanya dengan menjadikan Masjid Tambi atau Masjid India atau nama rasminya sekarang Masjid Bandar Kuching sebagai pusat kegiatan dakwahnya. Di situlah juga Datuk Imam Haji Morshidi membuka sebuah madrasah pada tahun 1917 yang dinamakan sebagai Madrasah al-Mursyidiyyah ditukar namanya kepada Madrasah Islamiah. Dari Madrasah ini telah lahir ramai tokoh masyarakat dan agama, bahkan kebanyakan Mufti-Mufti Negeri menerima pendidikan formal agama dan Bahasa Arab dari madrasah ini, termasuklah mufti sekarang Datu Haji Loling Othman bin Haji Alwi. Pada tahun 1939, berpulanglah Datuk Imam Haji Morshidi ke rahmatUllah di Kuching dengan meninggalkan banyak anak murid dan alhamdulillah, almarhum ayahandaku sempat menimba ilmu dengan beliau. Oleh itu sedikit sebanyak pertautan titihan ilmu itu sampai juga kepadaku.

Sebenarnya Sarawak seperti negeri-negeri lain mempunyai ramai ulama keluaran Makkah, tetapi sejarah hidup mereka dan perjuangan serta dakwah mereka tidak banyak diketahui. Pendakwah Sarawak ada yang pergi berdakwah di kawasan-kawasan negara jiran seperti Kalimantan, dan terdapat juga tradisi berfaqir dilakukan oleh ulama-ulama Sarawak. Aku berharap anak-anak negeriku ini akan membuat usaha untuk mencari dan mendokumentasikan riwayat-riwayat hidup dan perjuangan tokoh-tokoh agama seperti Datuk Imam Haji Morshidi, Datuk Hakim Keramat, Tuan Guru Haji Baha`, Tuan Guru Haji Daud Abdul Ghani, Tuan Guru Haji Saleh Arif dan ramai lagi. Biarlah sejarah hidup mereka diketahui oleh anak bangsa kita, agar boleh dijadikan contoh dalam meneruskan perjuangan mendaulatkan Islam di tanah air ini. Menulis riwayat hidup para ulama dan sholihin adalah satu tugas yang mulia, bahkan ada ulama yang menyatakan bahawa jika seseorang menulis riwayat hidup seorang waliyUllah, kelak di hari kiamat dia akan bersama dengan wali tersebut. Ini kata-kata ulama, kalau nak percaya, percayalah, kalau tidak apa boleh buat, cuma ingat-ingatlah pada sabdaan Junjungan s.a.w. hadits baginda yang shohih bahawa "seseorang itu akan bersama-sama dengan orang yang dikasihinya." Aku terlalu dhoif dan tidak berkemampuan untuk menjalankan kerja ini, banyak cerita dan riwayat lisan yang kudengar sewaktu nembiak dolok, udah ingat-ingat lupak di ingatan. Antara yang aku masih ingat ialah mengenai cerita berkenaan Tuan Guru Haji Baha` yang meninggal sewaktu berfaqir di Batang Samarahan, alhamdulillah, aku berkesempatan bergaul dengan muridnya yang kini sudah berusia lebih 80 tahun yang menceritakan bagaimana mereka berdayung dari Batang Samarahan dengan mudahnya mudik ke Kuching membawa jenazah almarhum. Sayang sampai ke saat ini riwayat dan kisah dakwah ulama-ulama ini masih samar dan tidak dipedulikan berbanding dengan tokoh-tokoh politik semasa. Mudah-mudahan Allah menyirami roh Datuk Imam dan segala arwah para ulama serta sekalian muslimin dengan cucuran hujan rahmat dan keredhaan yang berkekalan sehingga ke hari pertemuan ........al-Fatihah.

Tidak ada komentar:

"MAJELIS RASULULLAH SAW"

"MAJELIS RASULULLAH SAW"

"PERADABAN BARU ISLAM (FITRAH MANUSIA)"

Seaching Blog

Memuat...