Sabtu, 02 Mei 2009

SYEIKH MUHAMMAD SALEH AL MINANKABAWI

SYEIKH MUHAMMAD SALEH AL MINANKABAWI SYEIKHUL ISLAM PERAK DARUL REDZUAN

MENGENAI ulama yang berasal dari Minangkabau ini, masih terdapat beberapa perkara yang masih bersimpangsiur. Terdapat dua nama mengenai orang tuanya, iaitu Abdullah dan Muhammad Thaiyib. Ayahnya yang bernama Abdullah digunakan pada tiga buah karyanya yang telah ditemui. Nama Muhammad Thaiyib pula digunakan sewaktu beliau menjadi Syeikh al-Islam Perak Darul Redzuan.Syeikh Muhammad Saleh dilahirkan di Kampung Tungkar, Luak Tanah Datar, Minangkabau, Sumatera Barat. Muridnya bernama Muhammad Saleh Mandahiling, penulis buku biografinya yang menyebut bahawa Syeikh Muhammad Saleh lahir kira-kira pada tahun 1266 Hijrah. Penulis masih meragui tahun andaian itu, kerana beberapa fakta bertentangan dengan jalan sejarah yang ada hubungan dengannya. Syeikh Muhammad Saleh meninggal dunia pada 17 Zulkaedah 1351 Hijrah/12 Mac 1933 Masihi di Kuala Lumpur. Dalam buku muridnya itu diceritakan bahawa Syeikh Muhammad Saleh bersahabat dengan Syeikh Ahmad Khatib Minangkabau (lahir 1276 Hijrah), Syeikh Mukhtar Jawa/Bogor (lahir 1278 Hijrah) dan Syeikh Nawawi Bantan (1230 Hijrah). Berdasarkan perbandingan tahun kelahiran ulama-ulama yang tersebut dengan kelahiran Syeikh Muhammad Saleh (1266 Hijrah) itu, penulis berkesimpulan bahawa Syeikh Muhammad Saleh bukan sahabat Syeikh Nawawi Bantan tetapi beliau adalah muridnya. Kelahirannya yang diandaikan tahun 1266 Hijrah itu masih perlu dikaji semula, sekurang-kurangnya agak berdekatan dengan tahun kelahiran Syeikh Ahmad Khatib Minangkabau (1276 Hijrah) dan Syeikh Mukhtar Jawa/Bogor (1278 Hijrah) itu.

PENDIDIKAN

Syeikh Muhammad Saleh berangkat ke Mekah sejak berumur 6 tahun mendapat pendidikan daripada orang tuanya, Syeikh Muhammad Thaiyib @ Syeikh Abdullah, seorang Syeikh haji di Mekah. Beliau sempat belajar kepada ulama-ulama besar Mekah yang terkenal, iaitu Saiyid Ahmad bin Zaini Dahlan, Syeikh Abu Bakar Syatha, Syeikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki, Syeikh Abdul Hamid asy-Syarwani, Saiyid Umar Ba Junaid, Saiyid Muhammad Said Babshail dan Saiyid Abdullah Zawawi.Dalam buku biografinya tidak disebut seorang pun gurunya yang berasal dari dunia Melayu secara jelas, tetapi memperhatikan jalan ceritanya, Syeikh Muhammad Saleh juga belajar kepada ulama-ulama dunia Melayu yang terkenal di Mekah pada zaman itu. Diceritakan dalam buku itu bahawa sewaktu Syeikh Muhammad Saleh akan memperdalam ilmu falak bersama beberapa orang kawannya. Kawan-kawannya hanya belajar empat kali saja kerana guru tersebut terlalu keras. Nama guru falak yang diceritakan dalam buku itu tidak dinyatakan. Syeikh Muhammad Saleh sempat khatam belajar kepada guru yang keras itu. Demi lebih memperoleh kefahaman, beliau belajar pula kepada seorang pemuda yang berusia 16 tahun, juga tidak disebut namanya.Daripada cerita di atas penulis berpendapat kemungkinan yang dimaksudkan guru falak yang terlalu keras itu ialah Syeikh Ahmad al-Fathani. Sedangkan pemuda ahli falak yang berusia 16 tahun itu, ialah Syeikh Muhammad Nur al-Fathani.

PENGEMBARAAN DAN AKTIVITI

Setelah belajar selama 17 tahun di Mekah, Syeikh Muhammad Saleh pulang ke Minangkabau. Selama kira-kira empat tahun di Minangkabau, digunakan untuk mengembara ke segenap pelosok wilayah itu, dan pada waktu-waktu tertentu membantu gurunya, Syeikh Muhammad Jamil mengajar. Pengembaraan di Minangkabau dimanfaatkannya pula berdakwah dan mengajar melalui pembacaan kitab, sama ada kitab bahasa Arab mahu pun bahasa Melayu. Sewaktu berada di Minangkabau selama empat tahun itu, Syeikh Muhammad Saleh berkesempatan pula belajar ilmu persilatan dan beberapa jenis ilmu hikmat untuk pertahanan diri yang diperlukan pada zaman itu. Diceritakan bahawa dalam ilmu persilatan, beliau telah mencapai martabat seorang pendekar. Dalam ilmu perubatan beliau berkemampuan pula mengubati berjenis-jenis penyakit. Syeikh Muhammad Saleh berangkat lagi ke Mekah kerana masih dirasakan kekurangan ilmunya dalam bidang-bidang tertentu, seperti ilmu falakiyah, ilmu manthiq, ilmu tafsir dan lain-lain. Setelah beberapa tahun belajar dan mengajar di Mekah, sahabat dan muridnya, Engku Kudin, putera Raja Deli-Serdang mengajak beliau menyebarkan Islam di kerajaan di Sumatera Timur itu. Selesai menunaikan haji tahun 1309 Hijrah/1892 Masihi, Syeikh Muhammad Saleh bersama jemaah haji menaiki kapal dari Jeddah ke Pulau Pinang.Selanjutnya Syeikh Muhammad Saleh mengembara di seluruh Semenanjung Tanah Melayu, mulai Pulau Pinang, Perak, Selangor, Pahang, Terengganu dan Johor. Di mana saja beliau pergi, beliau terus mendapat sambutan bukan hanya rakyat jelata tetapi juga para sultan setiap kerajaan yang tersebut itu.Daripada pergaulan dengan sultan-sultan Melayu, Syeikh Muhammad Saleh berkesimpulan bahawa Sultan Abdur Rahman Mu'azzam Syah, Sultan Riau-Lingga adalah sultan yang paling garang. Beliau mementingkan keindahan pakaian dan perhiasan serta menyukai kelazatan makanan dan minuman. Sultan Abu Bakar, Sultan Johor, adalah sultan yang cerdik, mengasihi rakyat dan mengutamakan kepentingan kerajaannya. Sultan Zainal Abidin III, Sultan Terengganu, adalah sultan yang sangat alim pengetahuan Islamnya dan sangat bertakwa kepada Allah. HAKIM DI KERAJAAN RIAU-LINGGA Sebelum Syeikh Muhammad Saleh menjadi Syeikh al-Islam Perak, beliau pernah memegang jawatan Hakim di kerajaan Riau-Lingga. Pelantikan beliau sebagai Hakim Riau-Lingga adalah atas kehendak Yam Tuan Muda Raja Muhammad Yusuf al-Ahmadi.Sebab-sebab Syeikh Muhammad Saleh diminta oleh Yam Tuan Muda Raja Muhammad Yusuf al-Ahmadi menjadi Hakim Riau-Lingga adalah untuk menjaga kewibawaan putera baginda, Sultan Abdur Rahman Mu'azzam Syah, Sultan Riau-Lingga ketika itu. Yam Tuan Muda Raja Muhammad Yusuf al-Ahmadi dalam beberapa tahun merasa gelisah kerana beberapa perkara di mahkamah banyak yang tidak dapat diselesaikan. Ada yang tertangguh sekurang-kurangnya tiga tahun. Syeikh Muhammad Saleh dapat menyelesaikannya, beliau adalah seorang ulama yang bijaksana, amanah. Semuanya dapat beliau selesaikan.Syeikh Muhammad Saleh terpaksa berpindah dari Riau, Pulau Penyengat ke Pulau Lingga untuk menjalankan tugasnya sebagai Hakim. Sewaktu Syeikh Muhammad Saleh memegang jawatan Hakim Riau-Lingga itulah salah seorang Kerabat Diraja Kerajaan Perak bernama Engku Raja Mahmud atau digelar dengan Imam Paduka Tuan Perak mengenalinya.Engku Raja Mahmud mengkagumi kebijaksanaan Syeikh Muhammad Salehdalam menyelesaikan pelbagai isu, apatah lagi ulama yang berasal dari Minangkabau itu dapat menggabungkan pengetahuan yang bercorak duniawi dan ukhrawi. Dengan bermacam-macam cara Engku Raja Mahmud memujuk ulama itu supaya berkhidmat di negerinya di Perak Darul Redzuan.

MENJADI SYEIKH AL-ISLAM

Engku Raja Mahmud akhirnya berhasil mengajak Syeikh Muhammad Saleh berpindah ke Perak setelah dua tahun beliau bertugas sebagai Hakim di Riau-Lingga. Manakala Engku Raja Mahmud kembali ke Perak, beliau dilantik menjadi Kadi Besar Kerajaan Perak. Syeikh Muhammad Saleh mulai mengajar pelbagai kitab-kitab Islam terutama kitab-kitab Melayu/Jawi di Kuala Kangsar pada tahun 1318 Hijrah/1900 Masihi. Sejak awal kedatangannya di Kuala Kangsar, beliau telah mendapat restu daripada Sultan Idris, Sultan Perak Darul Redzuan ketika itu.Selain mengajar kitab untuk pengajian orang tua-tua, Syeikh Muhammad Saleh juga berhasil mendirikan Madrasah Ihsaniyah yang menurut sistem pendidikan persekolahan di Teluk Anson.Cita-cita Sultan Perak untuk melantik seorang Syeikh al-Islam bermula tahun 1922 Masihi, namun secara rasminya Syeikh Muhammad Saleh al-Minankabawi memegang jabatan itu pada 6 Jamadilakhir 1343 Hijrah/1 Januari 1925 Masihi.

KARYA KARYA

1. Mawa'izhul Badi'ah, diselesaikan pada 24 Muharam 1335 Hijrah. Dicetak Mathba'ah Al-Ahmadiah, 1344 Hijrah. Kandungannya merupakan nasihat dan akhlak yang diringkaskan daripada Mawa'izhul Badi'ah karya Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri.

2. Kasyful Asrar, diselesaikan pada hari Selasa, 27 Safar 1344 Hijrah. Cetakan yang pertama hingga cetakan yang ke 29 oleh Maktabah wa Mathba'ah Al-Ahmadiah, Singapura. Kandungannya membicarakan tentang tasawuf haqiqat atau tasawuf falsafi. Karya ini pernah ditahqiq oleh Syeikh Haji Muhammad Wali al-Khalidi dengan judul Tanwirul Anwar fi Izhhari Khalal ma fi Kasyfil Asrar, diterbitkan oleh Al-Maktabatut Taufiqiyah, JalanPerdagangan No. 4 Atas, Banda Aceh. Kasyful Asrar juga pernah diubahsuai ke dalam bahasa Indonesia dengan judul Menyingkap Rahsia Agama Dan Tasawuf, diterbitkan oleh Yayasan Dakwah Islam, Surabaya.

3. Jalan Kematian, diselesaikan 14 Jamadilakhir 1344 Hijrah. Dicetak pada bahagian akhir Kasyfur Asrar oleh Maktabah wa Mathba'ah Al-Ahmadiah, Singapura.

4. Nashihatul Mubtadi, tanpa tarikh. Cetakan yang pertama Maktabah wa Mathba'ah Al-Ahmadiah, 1346 Hijrah/1927 Masihi. Kandungannya merupakan berbagai-bagai nasihat ke arah keteguhan pegangan dalam beragama Islam dan iman.

Murid-murid

Murid beliau sangat banyak di seluruh Semenanjung, di antaranya termasuk Sultan Iskandar Syah, Sultan Perak. Yang pernah menulis riwayat hidup beliau ialah murid yang lama berhubungan dengannya, ia adalah Muhammad Saleh Mandahiling, Tapanuli. Buku tersebut diberi judul Izalatul Hairan fi Qshshah Syaikhil Islam Darir Ridhwan, judul dalam bahasa Melayu adalah Menghilangkan Kehairanan Pada Menyatakan Cerita Syeikhul Islam Perak Darul Redzuan.

Tidak ada komentar:

"MAJELIS RASULULLAH SAW"

"MAJELIS RASULULLAH SAW"

"PERADABAN BARU ISLAM (FITRAH MANUSIA)"

Seaching Blog

Memuat...