Sekembalinya dari Mesir pada tahun 1949, beliau dilantik menjadi Pegawai Pemeriksa Sekolah Arab dan Pengelola Majalah "Warta Jabatan Ugama Johor" (sehingga 1952). Setelah itu dinaikkan pangkat menjadi Kadhi Daerah Segamat, Johor (1953-1954).
Dalam tahun 1955, beliau dipinjamkan menjadi Pengetua di Kolej Islam Malaya, yang baru ditubuhkan bertempat di sebuah istana wakaf Almarhum Sultan Hishamuddin Alam Shah, Selangor. Dalam masa yang sama beliau bersama Tuan Haji Othman bin Haji Mohammad, Ketua Pemeriksa Sekolah-Sekolah Kerajaan Johor (kemudian dilantik menjadi Pengelola Sekolah-Sekolah Agama Kerajaan Brunei Darussalam) telah dijemput ke Negara Brunei Darussalam sebagai anggota meninjau cadangan mendirikan Sekolah Agama Kerajaan Brunei atas titah perkenan Almarhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa`adul Khairi Waddien. Berikutan daripada lawatan itu, dalam bulan September 1956, sebuah sekolah agama yang bersistem telah ditubuhkan buat pertama kalinya di Negara Brunei Darussalam.
Dalam tahun 1956 beliau kembali ke Johor kerana dilantik menjadi Pemangku Timbalan Mufti Kerajaan Johor. Kemudian menjadi Kadhi Daerah Pontian, Johor (1957); Pemangku Kadhi Besar Johor (1958) dan seterusnya ditetapkan jawatan sebagai Kadhi Besar Johor (1958-1961). Pada 1 April 1962, beliau telah dipinjamkan oleh Kerajaan Johor menjadi Mufti Kerajaan Brunei selama tiga tahun. Beliau menamatkan kontrak perkhidmatan dengan Kerajaan Brunei pada sehingga 31 Mac 1965 dan kembali berkhidmat semula dengan Kerajaan Johor sebagai Timbalan Mufti sehingga bersara pada 1 Januari 1967. Pada 8 Mac 1967, beliau meneruskan perkhidmatannya dengan Kerajaan Brunei sebagai Mufti sehingga kembali ke Rahmatullah di Rumah Sakit Raja Isteri Pengiran Anak Saleha pada 3 Februari 1993.
Selama berkhidmat dengan Kerajaan Brunei Darussalam, beliau telah dilantik menjadi ahli dalam berbagai majlis negara atau jawatankuasa, antaranya: Ahli Majlis Mesyuarat Mengangkat Raja; Ahli Majlis Ugama Islam Brunei Darussalam; Pengerusi Jawatankuasa Kehakiman, Majlis Ugama Islam Brunei Darussalam; Pengerusi Undang-Undang, Majlis Ugama Islam Brunei Darussalam; Ahli Majlis Universiti Brunei Darussalam; Ahli Majlis Institut Pengajian Islam Brunei Darussalam; Ahli Majlis Maktab Perguruan Ugama Seri Begawan; Ahli Jawatankuasa Menyesuaikan Undang-Undang dengan Kehendak Syarak; Ahli Lembaga Peperiksaan Pelajaran Ugama; Ahli Jawatankuasa Mengeluarkan Wang Zakat Fitrah bagi Majlis Ugama Islam Brunei Darussalam; dan Penasihat bersama Penubuhan Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB). Dianggarkan lebih daripada 40 majlis atau jawatankuasa yang beliau anggotai selama berkhidmat dengan Kerajaan Brunei dan Malaya (Malaysia).
Dalam kegiatan keilmuan beliau juga telah beberapa kali mewakili Negara Brunei Darussalam bagi menghadiri seminar-seminar dan kongres-kongres di peringkat serantau dan antarabangsa, antaranya: Muktamar AI-Alamil Islami (di Baghdad, Iraq; di Kuala Lumpur, Malaysia; di Mogadishu, Somalia; di Karachi, Pakistan; dan di Famagusta, Turki); Persidangan As-Siratin Nabawiyyah di Kaherah, Mesir; Persidangan Antarabangsa lktisad dan Ekonomi Islam di Makkatul Mukarramah, Arab Saudi; Persidangan Persekutuan Ulama Indonesia di Jakarta, Republik Indonesia; Persidangan Ahlil Bait (MAAB) di Amman, Jordan dan Persidangan Menteri-Menteri Waqaf di Jeddah, Arab Saudi.
Sebagai seorang yang arif dan mendalami bidang agama, beliau sentiasa menyumbangkan buah fikiran dan nasihat yang disalurkan melalui buku atau kitab, risalah dan makalah, antaranya:
- Kitab Pelajaran Fiqh, Penggal I;
- Syair Abu Tammam dalam bahasa Arab (1948);
- Bagaimana Agama Islam Masuk ke Brunei Menurut Kitab-Kitab Lama Bahasa Arab (1965);
- Bagaimana Kita Mengambil Faedah dari al-Quran (1967);
- Kitab Ringkasan Aqidah Ahli Sunnah wal-Jama'ah (1979);
- Peribadi Orang Islam: (1980);
- Corak Pendidikan dalam Islam berhubung dengan Pendidikan di Negeri Brunei Darussalam (1981);
- Risalah Didikan Akhlak (1985);
- Konsep Melayu Islam Beraja di Negara Brunei Darussalam (1985);
- Konsep Pengajian Tinggi Islam (1987);
- Hukum Nikah Kahwin (1987);
- Kisah Hidup al-'Allaamah Syeikh Muhammad Fadzlullah Suhaimi (1991).
Di antara sumbangan beliau yang paling berharga dan penting untuk menjadi panduan hidup umat Islam ialah penghasilan fatwa-fatwa. Sejak tahun 1962 (tidak termasuk tahun 1965-1967) sehingga akhir hayat beliau dianggarkan lebih 600 fatwa (tidak termasuk fatwa yang dihasilkan ketika berkhidmat di Johor) telah dihasilkan. Kesemua fatwa itu berasaskan Mazhab Syafie daripada segi Fiqh dan Ahli Sunnah wal-Jama'ah daripada segi Aqidah.
- "Ringkasan Wirid Bacaan Pagi dan Petang dengan Dalil daripada Quran dan Hadith";
- "Dalil daripada Quran dan Hadith mengenai al-Wirdul Lathif oleh Qutbul Irsyad wad-Da'wah al-'Allaamah Habib as-Sayid Abdullah al-Haddad";
- "Dalil daripada Quran dan Sunnah mengenai Wirid Asal oleh Qutbud-Dunya al-'Arif Billah asy-Syeikh Abdul Qadir Jailani, Baghdad";
- "Pandangan Islam" (dibukukan dalam empat penggal);
- "Ugama Didikan Sosial";
- "llmu Tasawuf dan Hubungannya dengan Islam dan Iman";
- "Perkara Panduan Jurunikah dan Hukum-Hukum Nikah yang Berhubung Dengannya";
- "Perkara Aqidah Ahli Sunnah wal-Jama'ah dalam Pentadbiran Pegawai-Pegawai Kerajaan Negara Brunei Darussalam";
- "Bagaimana Kita Mengkaji Fiqh Aliran atau Mazhab al-Imam asy-Syafie Radhiallahu 'Anhu".
Tulisan-tulisan beliau telah diterbitkan dan disiarkan dalam berbagai bentuk dan melalui berbagai media. Beliau juga banyak membuat kajian dan telahan mengenai masalah-masalah Fiqh dan Aqidah, sehingga kebanyakan hasil tulisan Allahyarham dijadikan sumber rujukan asas kajian ilmiah, dan masih disimpan di Universiti Kebangsaan Malaysia.
Allahyarham Pehin Datu Seri Maharaja Dato Seri Utama Dr. Haji Ismail bin Omar Abd. Aziz adalah tokoh agama dan ulama yang terkenal dan dikagumi bukan sahaja di Negara Brunei Darussalam, bahkan di negara-negara Islam yang lainnya. Allahyarham berjasa dalam memperkembangkan dan mengukuhkan syiar dan pendidikan Islam khususnya di Negara Brunei Darussalam. Melalui fatwa-fatwa, Allahyarham telah turut membentuk dengan berkesan kehidupan semua peringkat masyarakat beragama dalam berbagai bidang di Negara Brunei Darussalam. Kewibawaan dan kepakarannya dalam bidang ilmu agama tidak dapat dinafikan, kerana Allahyarham sering menjadi tumpuan untuk menghuraikan masalah keagamaan. Malah sehingga Allahyarham kembali ke rahmatUllah pun masih ada pihak- pihak (dalam dan Luar Negeri) yang cuba menghubunginya untuk meminta pandangan dan penjelasan mengenai sesuatu hal yang dimusykilkan.
Kewarakan dan ketegasan Allahyarham dalam menegakkan agama adalah berkat tarbiah yang diberikan oleh ayah Allahyarham,Tuan Guru Haji Omar (lebih dikenali dengan nama Faqeeh Omar). Sebagai mewarisi bakat orang tuanya, sejak di alam awal persekolahannya lagi Allahyarham sering mendapat nombor satu dalam kelas, malah selalu membantu gurunya untuk mengajar kelas yang lebih rendah. Sebab itu Allahyarham dipanggil Muallim (tuan Guru). Dengan pendidikan dan asuhan agama yang kuat inilah juga menjadi pendorong utama ke arah pembentukan peribadi mulia pada diri Allahyarham.
Daripada tarbiah yang diterima dan diamalkan itu dapat dijadikan teladan dan pengajaran khususnya mengenai sikap dan pendirian dalam menegakkan Islam sebagai cara hidup yang syumul. Antara sikap Allahyarham yang patut dicontohi ialah berjimat cermat dan teliti dalam semua hal. Misalnya dalam penulisan atau menjawab kemusykilan agama yang diutarakan oleh orang ramai, Allahyarham akan terlebih dahulu membaca seberapa banyak kitab tulisan ulama- ulama Mazhab Syafie yang muktabar dan alim. Setelah mengemukakan beberapa pendapat daripada kitab-kitab tersebut, barulah Allahyarham memberikan ulasan mengenainya, dalam bentuk pandangan atau nasihat sahaja, bukan menjatuhkan hukum.Ketelitian dan sikap berhati-hati Allahyarham juga dapat di perhatikan melalui penulisan yang dihasilkan dengan lebih mengutamakan tulisan ulama -ulama muktabar silam daripada tulisan radikal.
Apabila menelaah kitab-kitab dan membaca al-Quran, Allahyarham akan mengulanginya sehingga faham. Hasil daripada pengamatan dan kefahaman mengenai perkara yang telah ditelaah, Allahyarham dapat mengingati setiap ayat dalam kitab tersebut berserta baris ayat dan muka suratnya, lebih-lebih lagi latar belakang penulisnya. Dengan kata lain dalam soal yang melibatkan keagamaan Allahyarham begitu tegas. Nyatanya prinsip yang menjadi pegangan Allahyarham ialah berkata benar walaupun pahit, dalam apa jua bidang dan tempat. Oleh itu di dalam apa jua bentuk perbincangan, permesyuaratan atau lainnya, Allahyarham tetap akan membangkang jika sesuatu itu tidak benar walaupun sudah berjam-jam berbincang atau bermesyuarat. Ini adalah satu pegangan hidup Allahyarham di dalam fatwanya yang tidak hanya melihat kepada masalah duniawiyah semata-mata tetapi lebih mengutamakan hukum Allah. Ertinya Allahyarham tidak berganjak atau kompromi dalam menegakkan hukum Allah. Malah Allahyarham pernah diancam dan disihir, namun sedikitpun Allahyarham tidak rasa gentar kerana Allah telah berfirman yang maksudnya "Jika kita tolong agama Allah, Allah akan menolong kita."
Tegasnya dalam apa jua hal jika Allahyarham kata tidak boleh, maka jawapannya sampai bila-bila pun tetap sama. Umpamanya jika Allahyarham menyuruh menyalin hasil fatwanya, setiap perkataan atau ayat yang Allahyarham nyatakan tidak boleh diubah walaupun diulang sampai empat lima kali salinan, perkara tersebut tetap sama.
Sifat cermat dan teliti ini dapat juga dilihat melalui cara berbelanja dan penyediaan permakanan. Dalam soal perbelanjaan sehari-hari Allahyarham mempunyai buku rekod khas yang mencatat barang-barang yang dibeli, harganya, tarikh dan pembelinya.Bercermat di sini bukanlah tandanya Allahyarham bakhil atau sayangkan harta tapi agihan di tempat yang perlu sahaja seperti jika Allahyarham memberikan sesuatu kepada anak sulung, anak-anaknya yang lain akan mendapat nilai pemberian yang sama. Ertinya Allahyarham memberi kasih sayang seadil-adilnya untuk mengelakkan daripada wujudnya perasaan iri hati di kalangan anak- anaknya.
Dalam pergaulan dengan orang ramai, Allahyarham lebih suka merendah diri, suatu sikap yang memang sedia tertanam dalam dirinya. Allahyarham juga adalah seorang yang pendiam, terutama jika tidak ada tajuk yang penting baginya untuk bercakap. Bertelingkah bukanlah cara dan disiplin Allahyarham. Namun begitu Allahyarham sering tersenyum dan ceria atau manis muka dengan sesiapapun dan siapa saja yang datang berjumpa dengannya akan merasakan seperti kawan lama yang baru berjumpa. Begitu juga sering diperingatkan kepada anak- anaknya agar jangan melupakan jasa guru-guru dan sentiasa menyambung silaturrahim sesama kerabat yang dekat dan jauh.
Allahyarham melayani tetamu tanpa mengira protokol . Jika di rumah Allahyarham sendiri akan menghidangkan air dan berusaha mencari apa sahaja makanan yang boleh dihidangkan sehingga kadang-kadang tersilap di antara kacang yang mentah dengan yang sudah dimasak.
Allahyarham adalah ulama yang dapat menyelami kemahuan "hati kecil yang berkata" sebelum seseorang itu meluahkan fikiran dan tujuan berjumpa Allahyarham, dan berbagai keramah yang boleh dilihat ketika hayatnya terutama dari segi fatwa dan "ilmu ladunni" serta "masin cakapnya".
Satu daripadanya amalan hidup Allahyarham yang patut dicontohi ialah tabiat suka melakukan amalan sunnah dan zikir yang berterusan. Dalam diari peribadi tersusun zikir-zikir dan amalan pada waktu pagi dan petang. Ini termasuk amalan selepas sembahyang Maghrib, Isya, Tahajud, Subuh, dan pada waktu Dhuha sehingga Zuhur. Semuanya ini dari zikir al-Ma'thurat (amalan Rasulullah) dan Tariqat yang dipegang seperti Tariqat al-Qadiriyyah dan zikir yang Allahyarham susun sendiri. Bagi Allahyarham amalan zikir dan bacaan al-Quran adalah makanan utama dalam hidupnya. Ada di antara zikir-zikirnya diulang hingga 10,000 kali atau paling kurang 1,000 kali.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar